Ibu Tunggal Melacur: Masalah Moral Semata-mata atau Kesan Ekonomi Riba?

 

Latarbelakang kes:

Pada  27/9/2018 seorang janda anak satu mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu kerana cuba melacurkan diri demi menyara anaknya. Beliau  merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan terpaksa mencari rezeki untuk anak tunggalnya yang berusia tujuh tahun dan terpaksa memilih pekerjaan ini disebabkan terdesak untuk mendapatkan wang. Walaupun begitu Mahkamah menolak alasan beliau “Alasan terpaksa melacurkan diri kerana diceraikan suami tanpa nafkah tidak dapat diterima. Dua pekerjaan (jurujual pasar raya dan pencanting batik) dilakukannya dan latar belakangnya me­netap di Kota Bahru (Kelantan) dengan kos sara hidup tidak tinggi sudah mencukupi untuk menyara diri dan anak,”.

Kes begini mengundang kita untuk berfikir samada kos sara hidup yang tinggi hari ini akibat sistem Ekonomi Riba adalah penyebab utama bagi ibu tunggal ini untuk melacurkan diri bagi mendapatkan wang dengan jalan yang mudah bagi menampung keperluan harian beliau dan anaknya.

Persoalannya berapa ramai ibu tunggal yang berhadapan dengan kes yang sama seperti ini?

Pada tahun 2008, Ketua Hakim Syarie, Datuk Ibrahim Lembut mendedahkan terdapat 2 ibu tunggal di Pulau Pinang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tukang cuci dan mendakwa mereka terpaksa melacurkan diri untuk menyara anak mereka. Lebih mengejutkan, mereka dibayar pelanggan secara ansuran. Bekas suami 2 wanita terbabit dikatakan gagal menjelaskan nafkah anak-anak biarpun Mahkamah Syariah telah mengeluarkan perintah terbabit sejak 3 tahun lalu.

Ini menunjukkan walaupun undang-undang boleh mensabitkan mereka bersalah, persoalannya ialah adakah dengan bukti pelacuran atau pengakuan mereka sudah cukup untuk kita menghukum mereka dan menyelesaikan masalah yang  dihadapi oleh kebanyakkan ibu-ibu tunggal yang terpaksa menyara kehidupan dan anak-anak mereka apabila mereka terpaksa bercerai dan nafkah tidak diberikan oleh bekas suami mereka. Apatah lagi undang-undang syariah tidak efektif bagi memastikan bekas suami mereka untuk membayar nafkah kepada anak-anak yang ditinggalkan kepada bekas isteri mereka. Pengalaman saya sebagai peguam mendapati banyak kes-kes penceraian dimana ibu-ibu tunggal ini dibiarkan sahaja oleh bekas suaminya tanpa memberi nafkah kepada anak-anaknya. Bagaimana pula mereka yang kematian suami tanpa meninggalkan apa-apa harta?

Dengan kos hidup yang tinggi hari ini disebabkan sistem ekonomi Riba dimana kos barang-barang dan perkhidmatan yang sentiasa meningkat, ibu-ibu tunggal ini terpaksa berdepan dengan pelbagai kos seperti membayar rumah sewa, kos pelajaran anak-anak dan keperluan rumah. Rata-rata Ibu tunggal ini menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan yang menghasilkan pendapatan tinggi, tiada kemahiran, tiada kerja sampingan, hanya mengharapkan satu pekerjaan dengan gaji yang rendah dan tiada wang simpanan.

Saya pernah diberitahu oleh rakan saya dimana ada ramai ibu-ibu tunggal yang bukan Muslim yang juga terpaksa berdepan dengan kos sara  hidup yang tinggi dan mereka terpaksa bekerja di kelab-kelab karaoke bagi melayan lelaki-lelaki disitu.

Pada tahun 2016, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata statistik Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 mendapati bilangan penduduk wanita di Malaysia adalah seramai 13.9 juta dengan 235,240 daripadanya ibu tunggal. Daripada 235,240 orang, hanya 83,775 ibu tunggal berdaftar dengan JPW. Selebihnya kita tidak tahu apa yang terjadi kepada mereka?

Angka ini amat besar iaitu hampir 17% wanita Malaysia adalah ibu tunggal. Ini adalah statistik 2010. Bagaimana sekarang?Mungkin sudah 20% dan ini bermakna setiap 5 wanita , satu akan dan sudah jadi ibu tunggal?

Dengan inflasi yang tetap meningkat akibat dari sistem ekonomi Riba, saya percaya ramai lagi Ibu-Ibu tunggal yang terpaksa menghadapi pelbagai keperitan bagi mendapatkan wang yang cukup untuk menampung keperluan keluarga dan sebahagian dari ibu-ibu tunggal ini “terpaksa melacurkan diri” demi mendapatkan wang yang mudah bagi menyara kehidupan keluarga mereka.

Adalah perlu satu kajian empirikal dibuat bagi mengenal pasti samada kes-kes ibu tunggal yang terpaksa melacur kerana berdepan kos sara hidup yang tinggi merupakan kes terpencil atau sudah menjadi “api dalam sekam”. Adakah kita perlu tunggu perkara ini jadi isu nasional baru kita bertindak?

Patutkah kes ibu tunggal yang terpaksa melacur ini cuma dinilai dari segi moral sahaja dan hanya merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan oleh undang-undang?

Kemiskinan yang dihadapi oleh ibu-ibu tunggal ini jika tidak dibendung secara berkesan akan menyebabkan anak-anak di bawah tanggungan mereka akan mewarisi kemiskinan daripada ibu mereka.

Mungkinkah isu pelacuran ibu tunggal ini satu refleksi masalah ekonomi dalaman yang lebih besar kerana hari ini kos sara hidup yang semakin meningkat disebabkan sistem ekonomi Riba yang kita terima pakai dalam sistem ekonomi negara?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *