Dalam Sistem Riba, Solusi dan Demokrasi yang ada masih tempang

A.Pertentangan kelas dalam sistem Riba

Dalam sistem ekonomi yang berasaskan “interest”/Riba, pertentangan antara golongan yang kaya dan miskin tidak boleh dielakkan. Adalah mustahil secara matematik untuk memastikan rakyat terbanyak untuk hidup dan berkongsi kekayaan dan hasil negara kerana proses penciptaan wang berasaskan “interest” itu sendiri memastikan wang tidak cukup berbanding dengan wang dalam bentuk hutang dan “interest”.  Ini melahirkan persaingan yang tidak sihat antara dua kumpulan. Kumpulan Kaya/Pemodal yang memberi pinjaman sentiasa mendapat keuntungan berbanding dengan kumpulan yang meminjam. Hari ini hutang juga dianggap sebagai wang dan bank-bank swasta diberi kuasa untuk mencipta wang melalui pinjaman[1]. Wang dan hutang dianggap sebagai komoditi yang boleh dipinjam dan dikenakan “interest”.  Persaingan antara dua kumpulan ini akan memberi kesan kepada penumpuan kekayaan dipindahkan kepada kumpulan Kaya/Pemodal daripada kumpulan yang miskin.[2]

Hari ini, hutang digunakan bagi menjadikan memperhambakan masyarakat moden bagi kepentingan kumpulan Kaya/Pemodal.[3]

B.Solusi melalui Pengagihan Semula Kekayaan

Pengagihan Semula Kekayaan dalam sistem Riba merupakan dasar utama yang dilakukan bagi mengelak dan mengurangkan pertelingkahan dan ketegangan antara kumpulan yang kaya dan miskin. Prinsip ini jelas digunapakai semasa pertumbuhan ekonomi perlahan/ lembab.

Pada dasarnya, kumpulan Kaya/Pemodal menentang pengagihan semula kekayaan kerana kekayaan mereka yang perlu diagihkan semula. Sebab itu selalunya pembuat dasar dalam sistem Riba cuba untuk mengimbangi di antara pengagihan semula kekayaan dan pemeliharaan kekayaan bagi memastikan pengagihan semula adalah pada kadar yang minimum untuk kestabilan sosial-politik semata-mata. Kebajikan majoriti rakyat bukan objektif utama dalam sistem berasaskan “interest”/Riba.

Secara tradisi, kerajaan yang liberal akan cuba menyusun semula penumpuan kekayaan dengan polisi yang bersifat pengagihan semula kekayaan seperti:-

  • Cukai pendapatan yang progresif;
  • Pencukaian keatas harta-pusaka;
  • Pelbagai program kebajikan sosial;
  • Pendapatan minimum yang tinggi;
  • Program kesihatan untuk semua;
  • Pendidikan percuma untuk pengajian tinggi;

Walaupun cukai yang tinggi dikenakan kepada kumpulan Kaya/ Pemodal untuk perbelanjaan bagi program yang liberal, ia memberi manfaat pada semua pihak secara saksama dan ini memberi kebaikan pada golongan miskin. Ia dapat mengurangkan atau meredakan penumpuan kekayaan kepada kumpulan Kaya/Pemodal walaupun secara jangka pendek ia menjejaskan kepentingan kumpulan Kaya/Pemodal.

Tetapi polisi seperti diatas tidak mudah diterjemahkan untuk jangkamasa yang panjang kerana kerajaan yang bersifat lebih konservatif iaitu dipengaruhi oleh kumpulan Kaya/Pemodal, mereka akan melihat bahawa penumpuan kekayaan dan persaingan yang wujud adalah sesuatu yang baik. Ia merangsang aktiviti dan pertumbuhan ekonomi disamping mencipta teknologi dan memberi peluang kepada inovasi dan kreativiti manusia.

 Kronisma

 Nepotisma

Jika kamu seorang yang kaya, penumpuan kekayaan bermakna lebih untuk kamu dan kurang untuk semua orang yang lain. Kuasa, Pangkat, kawalan keatas sumber dan keistimewaan amat menarik sekali bagi pemerintah yang “berkhidmat” kepada kepentingan jangka-pendek kumpulan Kaya/Pemodal dan oleh itu mereka akan melaksanakan polisi seperti berikut:-

  • Cukai pendapatan yang sekata [flat-rate income tax];
  • Pengurangan/penghapusan cukai harta pusaka;
  • Pengurangan program kebajikan sosial;
  • Menswastakan aset-aset strategik Negara;

C.Halangan dan cabaran kepada Pengagihan Semula Kekayaan

Walaubagaimanapun dalam sistem Riba, untuk mengimbangi kepentingan jangka pendek kumpulan Kaya/Pemodal dan kepentingan jangka-panjang orang ramai bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Cukai yang tinggi kepada pendapatan walaupun bersifat progresif hanya melibatkan mereka yang berpendapatan tinggi tetapi tidak kepada mereka yang memiliki kekayaan dan aset peribadi yang besar [tanah, ladang, saham, stok,emas dsbnya]. Pelbagai cara yang digunakan oleh kumpulan Kaya/Pemodal samada dalam bentuk dan perlindungan undang-undang atau sebaliknya bagi memastikan kekayaan yang dimiliki tidak dikenakan cukai atau dikenakan pada kadar yang minimum.

Ringkasnya, samada polisi lebih liberal atau lebih konservatif, ia tetap memihak kepada kumpulan Kaya/Pemodal. Ini adalah kerana dalam situasi pertumbuhan ekonomi meningkat, “interest ” dibayar melalui pertumbuhan ekonomi dan juga “dicuri” dari titik peluh orang ramai dengan mengambil sebahagian daripada pendapatan semasa dan pendapatan masa depan mereka termasuk semasa mereka berbelanja untuk membeli barangan dan perkhidmatan tetapi apabila ekonomi MERUDUM, “interest” masih tetap dibayar samada dengan mengambil aset persendirian/ “collateral” [kereta/rumah/ dsbnya] jika peminjam gagal membayar hutangnya, dan jika masih gagal, proses bankrupsi akan dilakukan termasuk memastikan hutang itu nanti dibayar oleh waris penghutang atau generasi akan datang.

Bagi sesebuah negara yang berhutang dengan peminjam kewangan antarabangsa ,ini akan menjadi lebih buruk jika gagal untuk membayar hutang tersebut. Jarang sekali pemerintah sesebuah negara, demokratik atau sebaliknya yang gagal atau cuba untuk mengelak daripada membayar hutang negara mereka.  JIka mereka berbuat demikan, mereka akan menghadapi pelbagai bentuk serangan dan ancaman. Media dunia digunakan untuk mengecam mereka, pasaran bon akan menentang mereka, mereka akan dilabel sebagai “tidak bertanggungjawab”, “tidak demokratik”; penentang politik mereka akan disokong dan dibiayai oleh pihak peminjam ini;malah negara itu dan pemerintahnya sendiri akan menjadi sasaran untuk rampasan kuasa dan pencerobohan.[4]

D. Demokrasi dan kesimpulan

Banyak negara yang bermodelkan demokrasi dengan sistem pilihanraya dan konsep pemisahan kuasa antara legislatif, esekutif dan kehakiman, walaupun dikatakan maju dan demokratik dari aspek hak asasi dengan pembangunan ekonomi yang pesat, masih wujud jurang yang besar antara golongan yang kaya dan miskin. Negara maju ini masih berhadapan dengan krisis ekonomi, dengan hutang dan cukai yang tinggi, budjet kerajaan defisit, inflasi dan kos hidup yang tinggi. MENGAPA?

Penulis masih dan tetap berpendapat bahawa sistem yang berasaskan “interest”/Riba adalah punca struktural kepada krisis nilai,kepercayaan, budaya,ekonomi, politik,pendidikan dan sosial dalam kehidupan masyarakat moden hari ini. Tuntutan Demokrasi atau kuasa rakyat dalam sistem Riba tidak dapat merealisasikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat dan negara umumnya.

Melihat lebih jauh  lagi kesan sistem Riba, tidak ada bezanya kumpulan yang dilindungi oleh undang-undang,  “mencuri” dan “merompak” keringat,hasil, harta rakyat dan negara  dengan kumpulan yang melanggar undang-undang jenayah kerana sabitan mencuri dsbnya.

Terdapat solusi yang komprehesif yang dapat dilaksanakan bagi mencegah dan seterusnya menghapuskan sistem ekonomi Riba.

Pembatalan sistem hutang yang berasaskan “interest” adalah langkah pertama yang strategik kearah sistem ekonomi tanpa Riba. Tanpa Riba, kita  dapat melahirkan masyarakat yang lebih  penyayang, bekerjasama, saling hormat-menghormati dan berilmu.

Bagi umat islam, memerangi dan menghapuskan Riba secara strategik, berhemah, berdisiplin, berkumpulan dan berilmu adalah selaras dengan pengistiharan perang terhadap amalan Riba oleh Allah swt  dan Rasulnya demi mencapai objektif maqasid syariah.

21.10.2018

Rujukan:

1. Bank adalah skim penipuan terbesar di dunia

2.Bagaimana sistem Riba menyebabkan pengagihan semula kekayaan tetap kepada kumpulan kaya/pemodal

3.IMF dan Bank Dunia sebagai senjata utama bagi memperhambakan masyarakat dunia

4.Confessions of an Economic Hitman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *